Wednesday, April 8, 2015

On 9:31 AM by Unknown in ,    No comments
Amalan HAUQALAH...

*********************

Assalamu'alaikum w.b.t Ustaz.

ALHAMDULILLAH, telah sampai masanya ALLAH menggerakkan saya untuk berkongsi amalan ini dengan sekalian warga MMR yang DIKASIHINYA. Amalan ini merupakan amalan rohaniah yang sesungguh secara tulusnya menyedari tentang hakikat Tauhid Rububiyyah.

Benarlah janji ALLAH bahawa jika kita redha dan sabar dengan ujianNYA nescaya ALLAH akan segera memberi pertolonganNYA...ALLAHUAKBAR!

ALHAMDULILLAH dengan amalan HAUQALAH, ALLAH bukakan laluan rezeki seluasnya apabila kita meminta hanya kepada DIA dan terus KEPADANYA, tiada perantara, hanya antara makhluk dan penciptanya, ALLAH Yang Maha Agung. 

Sebagai makluman, saya bekerja dalam bidang IT dan berada dalam sebuah syarikat yang menguruskan sistem perdagangan pertukaran mata wang asing secara atas talian, menyebabkan ada keraguan dalam rezeki yang saya perolehi setiap bulan. Ini ujian ALLAH untuk saya ketika ini.

Menyedari hukum dan keraguan berada dalam laluan ini, telah menguatkan saya untuk merayu kepada ALLAH agar diberikan laluan kepada rezeki yang halal dan tidak diragui serta lebih diberkati.

ALLAH Maha Mendengar lalu DIA bukakan laluan untuk saya mengeluarkan modal membaikpulih rumah pusaka keluarga suami yang berada di atas tanah yang dimiliki olehnya melalui pemilikan secara faraidh.

SUBHANALLAH, sungguh indah CIPTAANNYA yang membuatkan kami sentiasa mengagumi kebesaran dan kekuasaan ALLAH dalam mentadbir setiap KEJADIANNYA. Rumah ini terletak betul-betul di tengah sawah padi saujana mata memandang. 

Kami suami isteri sepakat untuk menjadikan rumah pusaka ini sebagai homestay. Kami namakannya Hanana Homestay (HANANA bermaksud 'Beruntungnya Kami') sebagai asbab untuk kami mendapatkan rezeki yang halal lagi diberkati. Sebuah blog khas diberi nama http://hananahomestay.blogspot.com/ juga telah tersedia.

Berbekalkan modal yang agak terhad, kami nekad untuk lakukan sendiri semua urusan. Bermula dari membeli barang mentah untuk tujuan baikpulih rumah tersebut, diikuti pula mengganti keseluruhan bumbung rumah, membina bilik dan lain-lain lagi. 

Kadangkala dibantu juga oleh tenaga kecil 'askar-askar semut' kami. Pada setiap hujung minggu mahupun pada hari kelepasan am, di teratak inilah kami menaburkan keringat. Terus terang, kami tiada langsung pengalaman untuk melakukan semua kerja baikpulih ini. Semuanya dengan belas ehsan ALLAH yang telah mengilhamkan dan mengurniakan suami dengan kemahiran untuk melakukan urusan ini.

Namun ketika urusan baikpulih menjangkau fasa 60% siap, ALLAH sesungguhnya menyayangi kami, kami diuji. Ibu mentua mengalami stroke, menjadikannya terlantar dan menuntut perhatian penuh anak-anak untuk urusan dirinya setiap masa dan ketika. Kami pasrah dan dengan lafaz HAUQALAH, kami serahkan urusan kami kepada ALLAH, sementara suami berkhidmat tanpa culas menguruskan ibunya bersama adik-beradiknya yang lain secara bergilir sehingga ke detik ini. 

Sesungguhnya kami ini, tiada kekuatan dan daya melainkan daripada ALLAH yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia jualah kami pohonkan agar kami dapat menyempurnakan urusan HANANA HOMESTAY dalam usaha untuk merealisasikannya.

ALLAH sebaik-baik pentadbir urusan kehidupan. ALLAH bukakan pula laluan rezeki berikutnya untuk saya benar-benar yakin yang saya boleh berdikari apabila keluar dari laluan kerjaya saya pada ketika ini untuk meraih halal dalam rezeki yang mendatang. 

ALLAH telah 'hadiahkan' saya 2 buah mesin jahit yang mana salah sebuah adalah mesin jahit sulam berkomputer yang pada saya harganya telah membuatkan saya berfikir berkali-kali jika dibeli secara tunai. Namun ALLAH permudahkan segalanya. Berserta 'pakej kemahiran' yang DIKURNIAKANNNYAsekali kepada saya.

Kini dengan IZINNYA mampu untuk membuat beg-beg berbagai bentuk dengan hanya melihat contoh dan DIA akan mengilhamkan dan melorongkan kepada saya cara untuk membuatnya. Bermula dari membuat pola sehinggalah siap.

ALHAMDULILLAH, kini saya mula berniaga beg dan barangan kraf buatan sendiri secara atas talian dan ALHAMDULILLAH tempahan diterima amat memberangsangkan walau baru sehari diiklankan di laman facebook saya pada ketika itu. 

Kini melalui jenama HANANA CREATIONS, sebuah laman khas telah diwujudkan bagi memudahkan para pelanggan berurusan dengan saya dihttps://www.facebook.com/pages/Hanana-Creations/288438298021884 

Tempahan terbaharu sebanyak 2 buah beg diterima daripada seorang rakan sekerja berasal dari SEPANYOL, seorang MUALLAF, baharu 2 tahun memeluk ISLAM namun amat taat kepada agama suci ini. Syukur ALHAMDULILLAH kerana terpilih sebagai antara rakan rapat beliau yang turut sama bertanggungjawab mendidik dan mendorongnya kepada agama suci ini

Beliau pulang menziarahi ibu dan ahli keluarganya di Sepanyol pada DISEMBER lalu. Mohon saya pada ALLAH agar dipermudahkan urusan saya untuk menyiapkan tempahan beliau dimaqbulkan memandangkan tempahan ini untuk ibunya dan sudah pasti dia inginkan yang terbaik sebagai hadiah buat ibu yang dicintainya. 

HAUQALAH menjadi doa, saya hanya menyerahkan kepada ALLAH seluruh kehidupan saya untuk ditadbir OLEHNYA kerana DIA sebaik-baik pentadbir dan pengatur kehidupan. Saya hanya minta kepada ALLAH agar tadbirkan hidup saya kepada perkara yang memberi keberuntungan dan kebaikan kepada AGAMANYA, keluarga serta diri saya semasa di dunia dan ketika di akhirat nanti.

Amalan memberi salam kepada ALLAH dan Rasulullah s.a.w. tidak kira masa dan ketika menjadi rutin. Mohon saya kepada ALLAH agar meredhai matlamat saya untuk berada di dalam SYURGANYA dan dihimpunkan dengan RASULULLAH S.A.W yang amat dikasihi dan kami dapat bersama-sama menatap rupa paras ALLAH YANG MAHA AGUNG LAGI MAHA MULIA yang amat dirindui.

Selain tidak dilupakan untuk memanjangkan amalan dengan menjadikan kelaziman memberi note terbesar yang ada di dalam dompet pada ketika urusan sedekah dilaksanakan juga turut dipraktikkan. 

Saya nekad untuk keluar dari bidang kerja ini dan hari ini 31 DISEMBER 2014 adalah hari terakhir saya berkerja di syarikat ini dan in sha ALLAH, bermula Januari 2015, tiada lagi bermajikankan manusia, hanya ALLAH majikan saya selamanya. Saya serahkan urusan rezeki dan pentadbiran hidup saya hanya KEPADANYA. 

لا حول و لا قوة الا بالله…
“Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah” (tempat para hambaNYA memohon dan berharap)

Semoga perkongsian ini dapat memberi tambah amalan yang dilakukan oleh warga MMR yang dikasihi ALLAH ini, in sha ALLAH.

************************
Sebagai tambahan: 

( Jika ada hajat mendesak, boleh zikirkan sebanyak 300 kali setiap hari. Begitulah yang pernah saya dengar dari seorang pengamalnya. Insya-Allah. )

لا حول و لا قوة الا بالله…
“Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah” (tempat para hambaNYA memohon dan berharap)

*************************
Sumber : Mudahnya menjemput rezeki
                 Ustaz fathuri

0 comments:

Post a Comment